Nuffnang Ads

Sunday 8 September 2013

Stratford-upon-Avon, Warwickshire

Nostalgia di Warwickshire

Stratford-upon Avon Canal

Ini adalah salah satu tempat aku bersantai suatu masa dulu. Untuk mencari ilham dan 'buang masa' (atau luangkan masa lapang, terpulanglah takrifan masing-masing). Yelah, kadang-kadang waktu siang panjang, zohor ke asar, asar ke maghrib semuanya lewat belaka. Tapi, untuk ke sini, dicadangkan pada musim bunga atau luruh. Barulah nampak kecantikannya. Nama tempat ni Stratford-upon-Avon (SUA), terletak di daerah Warwickshire, West Midlands, England. Tempat ni agak unik, agak tenang, tidak penuh dengan orang yang berlari untuk tahan teksi atau bas, bunyi hon kenderaan tanda tak puas hati dan sebagainya. Seperkara lagi, uniknya tempat ni kerana William Shakespere telah dilahirkan dan tinggal di sini. Kenal tak siapa Shakespere ni? Ala, macam kita punya Munsyi Abdullah (lama) dan Zaaba (moden) la. Memandangkan Shakespere ni tokoh sastera Inggeris yang terkenal kira tahap pendita sastera gitu, maka tempat ini telah dijadikan sebagai satu tempat yang berasaskan Shakespere. Ada institut Shakespere (di bawah Uni. Birmingham), Teater Shakespere, ada jalan Shakespere, ada muzium Shakespere dan rumah tempat kelahiran Shakespere pun diwujudkan (tak pasti la pulak betul ke ni?). Wallahu'alam. Lagi pun itu bukan tujuan utama aku ke sini. Macam aku beritahu tadi, untuk tenangkan fikiran dan pada masa yang sama memerhati keadaan manusia dan kejadian alam sambil berfikir.

Henley street, jalan untuk ke rumah kelahiran Shakespere

Dah jadi muzium daaaaa


Rumah kelahiran Shakespere, Henley Street


Lupakan pasal Shakespere. Aku lebih berminat dengan suasana harmoni dan tenang di sini. SUA ni asalnya adalah pekan pasar (town market). Disekeliling SUA, atau sekitar kawasan Warwickshire ni ada terlalu banyak ladang. Ladang sini, ladang sana, semua ladang. Dikala sawah padi di Malaysia makin menyusut dan kerbau makin pupus, si petani tua dan si petani muda di England memerah keringat membanting tulang untuk menuai gandum dan bunga rapeseed, menternak biri-biri dan lembu. Di SUA inilah salah satu tempat pengumpulan hasil pertanian & penternakan sebelum dibawa menerusi canal untuk di bawa ke kota London dan kota Birmingham. Disebabkan sistem pengangkutan sudah maju, kini bot pancung/penambang mereka amat jarang digunakan untuk membawa hasil pertanian tetapi masih dikekalkan untuk tujuan pelancongan. Bancroft Basin and SUA canal adalah pusat hentian bot-bot pancung ini. Pengalaman untuk menaiki bot menyusuri sungai Avon juga disediakan. Di sektor pekan lama pula, terdapat banyak kedai-kedai yang mempunyai rekabentuk Tudor dan zaman Victorian menempatkan peniaga-peniaga terkini dan yang lama. Contohnya peniaga terkini adalah seperti bank-bank (HSBC & Barclays), peruncit (Tesco, Sainsbury & Morisson) dan syarikat-syarikat seperti firma guaman, telekomunikasi dan ejen penginapan. Contoh peniaga lama adalah kedai kopi, barang antik, hardware, restoran dan kedai runcit biasa yang turun temurun. Peniaga di sini juga sepakat menjaga keindahan dan warisan bangunan kedai mereka. Tiada papan tanda dan iklan melampau merata-rata sehingga tak nampak bangunan, tiada pokok dedalu mekar di dinding bangunan kedai dan sukar untuk jumpa peniaga bunyikan lagu kuat-kuat untuk menarik perhatian. Angsa-angsa majlis bandaran juga bebas berenang tanpa ancaman untuk disembelih oleh mereka yang tidak bertanggungjawab. Aku pun tak tahu apa dan bagaimana mereka fikir sehingga boleh jaga SUA ini sebaik itu. Oleh itu kengkawan, mana nak lepak di sini? Nilah cadangannya:
  • Bancroft Gardens - di mana SUA canal bertemu Sungai Avon di Bancroft basin
  • Henley street - ada Shakespere Birthplace
  • Sheep street - minum kopi, window shopping,
  • High street - rekabentuk bangunan Tudor (hitam putih tue), Ada restoran halal 'Hussains'
  • Meer street - sebelah Henley street, banyak kedai
  • Naik bot - menjelajah sungai Avon
  • Butterfly farm
Untuk maklumat lanjut sila ke link di bawah:

http://www.stratford-upon-avon.co.uk/index.htm
http://www.visitstratforduponavon.co.uk/


Bancroft Garden, di musim bunga

Menaiki bot menyusuri sungai Avon

Gini le ghupernyer angsa UK, banyak betul
Swan Fountain - patut le banyak angsa, binatang simbolik tempat ni rupanya!

Bot pancung/penambang

Warga emas bersantai

Di Sheep street, uniknya Majlis Bandaran mereka, tengok pengawal tu....

Bas ni pun ada

Menaiki bot

Berbahagialah ngko angsa





No comments:

Post a Comment