Salah satu keunikan Kelantan adalah makanannya. Di sini aku nak nyatakan salah satu restoran unik yang ada di Kelantan, secara tepatnya di tengah bandar Kota Bahru adalah Restoran Nasi Ulam Cikgu. Restoran ini betul-betul terletak di sebelah Kampung Kraftangan Kota Bahru, yang berdekatan dengan Istana Jahar dan Masjid Muhammadi. Memang dekat. Untuk ke restoran ni, sekiranya berada di dataran parking bas depan istana tu, susue melalui Jalan Istana (sebelah istana yang dijadikan muzium tu lah) dalam kurang 100m anda akan jumpa dengan restoran ni. Nampak dari jauh macam medan selera sebab bumbungnya panjang. Di sebelahnya pula Muzium Kraftangan.
Begitulah lebih kurang menu yang ada di sini. Macam-macam jenis ulam ada, baik yang segar mahupun yang direbus. Lepas tu ada pulak pencicahnya seperti tempoyak, sambal manis, budu, cili kicap dan lain-lain. Boleh campur ikut cita rasa sendiri. Memang unik. Jangan orang Malaysia kenal kimchi Korea aje ye? Tempoyak Melayu jauh lebih sedap dan mantap berbanding kimchi Korea tu (tapi orang macam aku ni makan je kimchi, wasabi dan seangkatan dengannya asalkan halal). Lagi satu, ini juga bukti bahawa bukan orang Korea, Jepun dan Vietnam je yang kuat makan sayur, tapi orang Melayu juga memang kuat makan sayur.
Inilah menu yang aku ambil. Ikan keli masak gulai, sayur campur masak lemak dan ulam daun tenggek burung dan ape ek, satu lagi aku tak tahu. Dan kena dengan campuran perasa aku sendiri iaitu tempoyak dan budu, diperah limau nipis sebagai sumber asid, ditambah pula penaik rasa asli yang terdiri daripada hirisan halus serai dan bawang. Akhir sekali siram dengan sos cili manis Kelantan. Perghhh! memang mantap! Memang kena lah untuk menghilangkan rasa pahit sayur tu. Kalau tengok macam hambar je kan? Tapi cuba rasa. Ikan gulai tu pulak, aku tak pasti nama tepatnya gulai apa. Tanya kawan Kelantan yang bawa aku ke situ pun dia tak tahu. Hmmm. Tapi takpe, aku suka dengan keunikannya. Senang cerita kalau di Johor dan Melaka terkenal dengan asam pedasnya, Kedah terkenal dengan sup rempah dan gulai karinya, Kelantan ni dengan gulai X ni lah! Serius, rasanya unik. Aku memang tak jumpa tempat lain. Gulai ikan patin Temerloh pun lain - tu unik jugak. Pendek cerita, memang seronok dengan makanan di Malaysia. Selamat mencuba.
No comments:
Post a Comment