Taman Sari atau Water Castle terletak di tidak jauh dari Istana Kraton, Wilayah Istimewa (special district) Yogjakarta, Indonesia. Apa yang boleh disimpulkan tempat ini adalah kawasan rekreasi akuatik diraja. Luas asalnya tidak dapat dibayangkan. Kini hanya sebahagian kawasan sahaja yang kekal dan selebihnya hanya runtuhan bangunan. Banyak rumah penduduk telah didirikan disekitarnya menyebabkan anda boleh terkeliru manakah satu monumen asal yang bersejarah. Jika anda menjejaki kesan tinggalan kawasan ini pasti anda akan kagum dengan struktur asalnya kerana ia bukan sekadar taman dan bangunan kolam mandi semata-mata seperti yang banyak terdapat di gambar kiriman bagi mereka yang telah ke tempat ini. Di Taman Sari ini sebenarnya ada tasik buatan, pulau buatan, kompleks rekreasi diraja, kolam mandi untuk puteri dan gundik raja, spa, musolla separa dalam tanah, lorong bawah air (dengan ruang angin) dan taman bunga. Cuba anda bayangkan keadaan seperti itu di zaman 1780-an di nusantara tempat kita ni. Seolah-olah ianya seperti Taman Tergantung Babylon yang telah hilang, tapi Taman Sari ni boleh dilihat lagi kesan runtuhannya. Tidak mustahil semasa tiba aku terpinga-pinga mencari apa yang hebatnya tempat ni selain runtuhan bangunan. Setelah berimiginasi dengan sumber rujukan, barulah aku tahu tempat ni memang hebat dan mengagumkan. Itulah sebabnya aku pernah gelarkan Yogjakarta ini sebagai Istanbul Indonesia dalam kiriman sebelum ini.
Salah satu pintu masuk ke Taman Sari. Rasanya belakang pintu ni dah ada air tasik - aku tak pasti tapi agak je. Di pintu masuk ni ada banyak gerai.
Dulu tasik dipenuhi air, sekarang dinaikkan bangunan.
Difahamkan taman ini dibangunkan pada zaman Sultan Hamengkubuwono I iaitu sultan Yogjakarta. Projek pembinaan taman ini direkodkan dalam Kitab Mamana yang disimpan di istana Kraton (boleh la minta tengok jika dibenarkan). Sesetengah bangunan dibina dengan batu marmar putih dan lembut seperti di Taj Mahal. Dengan ini, jurubina bangunan tersebut mampu mengukir motif ukiran Jawa dengan cantik. Dikatakan kompleks utamanya terletak di atas pulau buatan ditengah-tengah tasik buatan yang diberi nama Segaran. Kompleks utama itu diberi nama Bangunan Kenongo (Kenanga) sempena banyaknya pokok kenanga yang di tanam di sekitarnya. Boleh anda bayangkan betapa cantik dan wanginya tempat ni? Tidak jauh dari bangunan ini ada sebuah masjid/musolla dalam tanah. Hanya kubah sahaja yang tertonjol di atas. Untuk ke masjid ini anda perlu menyusuri jalan bawah tanah. Sebenarnya bukan bawah tanah tapi bawah tasik kerana sekarang air tasik tersebut sudah kering. Puas aku berpusing-pusing mencari jalan masuknya sehinggalah diberi tahu oleh seorang pakcik yang tinggal berdekatan. Seterusnya aku ke tempat mandi para puteri dan gundik raja yang selalu keluar dalam gambar di internet. Sekali lagi aku sesat dan kali ini ditunjukkan oleh seorang remaja tempatan. Di kompleks ini ada kolam dan air pancut, menara tinjau, tempat persalinan, taman bunga dan spa ala-ala turkish hammam atau sauna (orang tempatan yang kata sauna). Pada hujung 1780-an - 90-an, apalah jenis pam air yang ada? Tetapi kolam di sini boleh memancutkan air secara menggunakan sistem hidro-mekanik sahaja. Hebat? Menakjubkan? Kalau orang Jawa tidak hebat masakan mereka boleh bina Borobodur, Prambanan dan Taman Sari ini?
Kesimpulannya, tempat ini memang hebat. Sayang sekali kini ia hanya tinggal runtuhan. Kerja pemuliharaan pasti perlukan berbillion rupiah dan penempatan yang didirikan disekitarnya bukan mudah untuk dipindahkan. Sekiranya Taman Sari kekal sehingga kini, aku rasa tidak mustahil ia setaraf atau lebih lagi berbading Harem di Istanbul. Anda hendak tahu kenapa ia musnah? Jawapannya ialah serangan British dan gempa bumi. Hmmm, nampaknya British ni bukan usik Tanah Melayu sahaja ya, tapi Tanah Jawa pun pernah diusiknya (Haaaa, tu belum aku cerita bab British hentam Surabaya lagi yaa!). Hai British....British. Siapa lagi kalau bukan bekas kerani yang bernama Stamford Raffles yang bertanggungjawab menguruskan Yogja selepas dihentam tentera British. Nampaknya Stamford Raffles ni bukan sahaja memahat namanya di Singapura tetapi juga di Yogja, dan Melaka. Penangan Raffles ni agak dahsyat sehingga 'adik beradik' pun boleh terpisah dan tuduh menuduh dan berebut benda milik bersama selepas terpisah. Warisan ulung Kesultanan Kraton harus diperkasakan semula supaya anak-anak di nusantara ni tahu mereka bukanlah orang yang tidak reti apa-apa. Sabarlah ya, sedikit demi sedikit.
Bangunan Kenongo dulu (kanan) dan kini (kiri). Gambarkan kanan tu ikut ilham aku je.
Pintu masuk ke kompleks taman mandi.Tengok batu marmar tu. Diukir cantik.
Tempat mandi manda. Gambar yang biasa di ambil oleh pelancong. Apakah mekanisme untuk pancutkan air di tengah tu? Macamana pengairan dibuat dari bawah menara tinjau tu?
Tembok tinggi untuk halang penglihatan. Hanya sultan, pemaisuri, puteri dan gundik sahaja yang dibenarkan mandi di kompleks ini.
Cuba tengok, macamana air disalirkan ke dalam kolam? Tiada empangan diluar.
Tempat sauna. Lubang bawah tu untuk bakar kayu.
Ruang wuduk Masjid Bawah Tanah.
Ruang atas masjid.
Ruang wuduk dibawah,, tangga ke atas untuk ke ruang solat.
Terowong bawah air untuk ke kompleks lain.
Terowong bawah air. Kubah macam piramid tu kebuk pengudaraan. Lihatlah penempatan orang yang memenuhi kawasan ini. Ilustrasi gambar kanan menunjukkan ilham penulis.
Mungkin kolam pakai air hujan.sistem air pancut mekanikal itu boleh dipakai di tasek tasek awam negare kita
ReplyDelete